Monday, March 8, 2010

ADAB BERKEMPEN

BERKATA BAIK TANDA ORANG BERIMAN


Dalam ceramah atau syarahan di khalayak, pelbagai isu telah dikemukakan kepada orang ramai.Hujahan berbentuk retorik telah dilontarkan untuk menarik perhatian audien. Isu-isu sensitif dan panas menjadi bahan dan tajuk ceramah. Pelbagai wacana telah dihamburkan untuk menyedapkan halwa telinga.Si pendengar dan penonton setia akan menyambut dengan gema sorakan dan laungan takbir,apatalahlagi jika isu itu dikatakan “jejak angin”dengan mereka.
Semuanya mengharapkan pendengar mempercayai atau menyakini isu yang diperkatakan. Apa yang mendukacitakan timbul isu mengumpat, mengutuk,dan memaki pihak lawan yang menjadi menyedap halwa telinga. Akhirnya, perkara-perkara yang ditegah oleh agama menjadi kebiasaan.
Apabila kita bertelagah ,masing-masing cuba menegakkan kebenaran,mari kita meneliti dan merenung beberapa ayat Al-Quran dan hadis yang menjadi panduan orang-orang beriman. Pegangan Al-Quran dan Sunnah yang sungguh-sungguh –kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya(maksud hadis).

“Wahai-wahai orang-orang yang beriman,taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-amri (orang-orang yang berkuasa) dari kalangan kamu.Kemudian jika kamu berbantah-bantah(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada Allah(Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya-jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.Yang demikian itu adalah lebih baik(bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya.”An-Nisa:59

“Wahai orang-orang yang beriman,janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka, janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain.(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka: dan janganlah sesetengah kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain:dan janganlah pula kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik) maka,amatlah buruknya sebutan nama fasik(kepada seseorang)sesudah dia beriman.Dan ingatlah sesiapa yang tidak bertaubat(daripada perbuatan fasiknya)maka merekalah orang –orang yang zalim.”Al-Hujurat:11

Dalam ayat ini , Allah menjelaskan seseorang menjadi fasik dan zalim jika memperlekeh ,menghina, mendedahkan keaiban dan mulut celupar ke atas puak atau orang lain.


Allah melarang orang-orang yang suka mencerca walaupun ke atas orang-orang musyrik sekalipun apatah lagi ke atas orang Islam yang lain.

“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain daripada Allah, kerana mereka akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan.Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan.”Al-An’aam:108

Usahkan maki hamun,mengumpat,mencari kesalahan orang-menyangka buruk pun Allah melarangnya. Sesiapa yang mengetahui hakikat kejadian manusia,dan benar-benar mengenali zat Allah tentulah dia tidak tergamak untuk menyangka buruk kepada sesama manusia apatah lagi saudara seagama.Sebenarnya manusia ialah sebaik-baik kejadian sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran.

“Wahai orang-orang beriman!Jauhilah kebanyakan dari menyangka buruk kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang: dan janganlah sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.Adakah seseorang daripada kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah: sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihi. Al-Hujurat:12

Walaupun ada pendapat yang membenarkan mengumpat,cuma dalam keadaan darurat seperti untuk mencari jodoh, maklum kepada pihak polis, dan di mahkamah. Keadaan yang diharuskan mengumpat hanya kepada pihak-pihak berwajib, ada akautabili,yang didaftarkan secara sah mengikut undang-undang.,bukannya “ditelanjangi” keaiban orang atau dijaja merata-rata di pentas khalayak, dalam blog internet, dan ICT agar semua dunia mengetahui “tanpa seurat benang” perihal si pulan bin si pulan.

“Dan janganlah engkau(berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan) menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina(pendapatnya dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah hasutan(untuk memecahbelahkan orang ramai) Yang sangat menghalangi amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang sangat berdosa.” Al-Qalam:10-12


“Katakanlah; Wahai Ahli Kitab! Jangan kamu melampau-lampau dalam agama kamu dengan cara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kamu yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga(sekarang) mereka telah tersesat(jauh) dari jalan yang betul”
Al-Maidah:77

Yang menjadi masalah orang-orang melakukan salah laku ini orang yang pandai dalam ilmu agama. Sesetengah pihak bukan calang-calang orang yang bergelar ulamak dan tuan guru.Apabila mereka menggunakan hujah kononnya nas Al-Quran, hadis, kitab-kitab tertentu, maka sudah tentu orang akan percaya, apa tah kepada pengikut yang jahil dan hanya menjadi pak turut dalam agama.

Kefahaman inilah perlu dinilai,dikaji,dan dihayati oleh ahli masyarakat,janganlah menjadi pengikut yang membabi buta. Mereka menerima sahaja didikan,hukum-hukum berdasarkan -pendapat pendita-pendita(ulamak,Tok Guru) yang tidak berasal dari agama.Sebagaimana disebut oleh Allah, yang bermaksud,

“Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain daripada Allah dan juga(mereka mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa:tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa yang mereka sekutukan. AtTaubah:31

Marilah sama-sama kita menghayati apa yang dijelaskan oleh Al-Quran-mukjizat yang agung,
Kitab yang hidup hingga akhir zaman.Kita boleh mengambil banyak pengajaran daripadanya. Ramai pengkaji Al-Quran apabila Allah mendedahkan bagaimana sikap angkuh, ingkar dan buruk Firaun dan kuncu-kuncunya, kita merasakan kemurkaan Allah kepada Firaun semata-mata dan tidak berkaitan dengan kita. Tetapi, kita lupa sifat-sifat Firaun yang sombong kerana banyak ilmu, angkuh, degil, tidak mempercayai kebenaran sebenarnya terdapat dalam diri kita.

Sebenarnya, jika kita benar-benar orang beriman kepada Allah, semakin banyak ilmu di dada semakin tunduk, tawaduk, dan rendah diri kita kepada orang lain,ibarat resmi padi semakin berisi semakin tunduk.
Sebaliknya orang-orang yang beriman kepada syaitan, semakin banyak ilmu semakin bongkak, takbur,dan sombong. Dia merasakan dia seorang sahaja yang cerdik atau alim, orang lain semua bodoh atau jahil belaka .


‘Dan janganlah engkau memalingkan mukamu(kerana memandang rendah)kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong ,sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.” Luqman:18






Sabda Nabi s.a.w, “Tahukah kamu apa erti muflis? Jawab para sahabat, muflis menurut kami ialah orang yang tidak mempunyai wang dan tidak mempunyai harta. Sabda Rasulullah s.a.w, Muflis daripada umatku akan datang kelak pada hari kiamat membawa solat, puasa, dan zakat; dan membawa dosa kerana dia pernah memaki orang, dia pernah menuduh-nuduh orang, dia pernah memakan harta orang, dia pernah membunuh orang dan dia pernah memukul orang, maka pahala kebaikannya diberikan kepada orang-orang yang dizaliminya. Jika pahala kebaikannya habis sebelum terbayar lunas kepada orangg-orang dizaliminya, maka dosa-dosa mereka yang dizaliminya lalu ditimpakan kepadanya, kemudian dia dilemparkan ke neraka.”( Riwayat Sahih Muslim)

Jadi, berhati-hatilah agar kita tidak menjadi muflis pada hari akhirat nanti.Sayang sekali ya, beramal kebaikan di dunia bertimbun-timbun pahala, tetapi kerana kita ada kepentingan tertentu bila di akhirat nanti semua menjadi ibarat fatamorgana-sia-sia segala amalan.

“Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit: sesungguhnya apa yang ada di sisi Allah (dari balasan yang baik)itulah sahaja yang lebih baik bagi kamu, kalaulah kamu mengetahui.”An-Nahli:95


“Dan katakanlah(Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaku(yang beriman) supaya mereka berkata-kata yang amat baik(kepada orang-orang yang menentang kebenaran): sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka( yang mukmin dan yang menentang): sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang amat nyata bagi manusia.” Al-Isra’:53

Ayat ini, Allah menyuruh orang-orang beriman supaya sentiasa menggunakan kata-kata yang baik dan lemah-lembut orang-orang lain, sama ada mereka orang kafir, musuh atau sesiapa sahaja. Hal ini demikian kerana kata-kata kasar dan menyinggung itu akan menimbulkan permusuhan sesama manusia. Tambahan pula, Syaitan sentiasa menghasut dan menyalakan api permusuhan. Oleh itu, kenal pasti musuh yang sebenar yang amat berbahaya itu.

”Janganlah kamu menjadi seperti golongan orang musyrik,iaitu orang –orang yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak bergembira dengan apa yang ada padanya(dari fahaman dan amalan yang terpesong itu)” Ar-Rum:32

Jadi, sebagai saudara seagama marilah kita mencari titik-titik persamaan ,bukannya mencari jalan yang mengakibatkan kita berpecah-belah. ”Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan tali Allah(agama Islam) dan janganlah kamu berpecah-belah dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan,lalu Allah menyatukan di antara hati kamu,maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang bersaudara” Ali-Imran:103.
Sebenarnya, tangan-tangan ngaib sedang memerhati supaya kita bertelagah sasama sendiri. Yang menang ialah musuh-musuh yang cemburu melihat keadaan negara Malaysia yang aman,stabil, dan harmoni walaupun terdiri daripada negara berbilang kaum. Inilah kehebatan negara yang tidak ada pada negara lain.
Lupakah kita melihat keadaan negara-negara Islam yang lain, seperti Palestin,Iraq, Afghanistan, dan Pakistan. Nama sahaja negara Islam, tetapi pemimpin-pemimpin mereka mengikut telunjuk kuasa-kuasa asing.Mereka bertelagah sesama sendiri. Rakyatnya, saudara seagama sanggup berbunuhan sesama sendiri.Yang bergembira dengan keadaan itu ialah musuh-musuh kita..Negara hancur, ekonomi lumpuh,rakyat hidup melarat dan menjadi pelarian.Untuk membina negara mengambil masa ratusan tahun,tetapi untuk memusnahkannya hanya sekelip mata. Marilah sama-sama kita menghayati ajaran Al-Quran dan assunah jika benar-benar kita orang-orang yang beriman.


DISEDIAKAN OLEH :

SAHIFUL BAHARI ABD RAHMAN
PENGETUA KANAN
SMACH,MACHANG
KELANTAN
ISNIN, 8 MARCH, 2010

1 comment:

Anonymous said...

suara hati yang ikhlas akan d ikuti olih pendengar yang baik dan berqualiti walaupun ckit.goodluck.